Kaamatan International Week & Kaamatan Seed Spirit Revival: Meraikan Warisan, Budaya dan Perpaduan

Photo credit: Warta Oriental

Contributing Writer: Viona Ezravioleta Alferd

Selain acara yang sering dinanti-nantikan semasa Pesta Kaamatan seperti Pertandingan Sugandoi, Pertandingan Randawi Tavantang Kaamatan, dan Pertandingan Unduk Ngadau, terdapat juga dua program istimewa yang berlangsung lebih awal sebelum menjelang hari kemuncak perayaan tersebut. Program berkenaan ialah Kaamatan International Week dan Kaamatan Seed Spirit Revival. Kedua-dua program ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha memperkaya pengisian Pesta Kaamatan dengan elemen pendidikan, budaya dan kesedaran, di samping mengangkat nilai warisan masyarakat serta mengukuhkan hubungan antara komuniti pelbagai latar belakang.

Kaamatan International Week

Photo credit: Daily Express

Kaamatan International Week merupakan satu acara tahunan yang dianjurkan bersempena dengan sambutan Pesta Kaamatan di Sabah, yang bukan sahaja meraikan hasil tuaian padi, tetapi juga mengangkat kekayaan budaya masyarakat pelbagai etnik di negeri ini. Acara ini diadakan pada 21 dan 22 Mei sejajar dengan sambutan World Day for Cultural Diversity for Dialogue and Development yang diraikan di seluruh dunia setiap 21 Mei.

Tujuan utama penganjuran acara ini adalah untuk menanam nilai toleransi dan saling memahami antara budaya yang berbeza, khususnya dalam kalangan para delegasi yang hadir dari pelbagai latar belakang dan budaya. Di samping itu, program ini disertai oleh beberapa organiasi dari Sarawak, Kalimantan dan Filip. Melalui pelbagai aktiviti dan program, para delegasi diberi peluang untuk mengenali budaya lain dengan lebih dekat, sekali gus membina jambatan hubungan serta jaringan kerjasama antara komuniti antarabangsa. Selain itu, acara ini turut menekankan kepentingan pemeliharaan warisan budaya agar tidak hilang ditelan zaman, di samping mempromosikan pendidikan tentang kepelbagaian budaya kepada generasi muda serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan delegasi tentang peranan mereka sebagai duta budaya di peringkat global.

Kaamatan International Week diadakan sebagai usaha menyokong keamanan dan pembangunan global melalui penghormatan terhadap kepelbagaian budaya. Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja meraikan tradisi Kaamatan, tetapi juga menjadi simbol perpaduan dan kerjasama antara masyarakat pelbagai latar belakang di peringkat tempatan dan antarabangsa. 

Kaamatan Seeds Spirit Revival 

Photo credit: Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan Facebook page

Seeds Spiritual Revival (SSR) atau Kebangkitan Semangat Benih merupakan satu program pemuliharaan yang diperkenalkan di Sabah dengan tujuan menghidupkan semula dan melindungi benih-benih asli yang semakin terancam. Program ini akan diadakan pada 22 Mei pada tahun ini di di Dewan Terbuka Hongkod Koisaan (KDCA) Penampang. Selain itu, program ini juga melibatkan pengumpulan pelbagai jenis bahan tanaman seperti biji benih, keratan dan anak pokok dari daerah-daerah di Sabah untuk dipelihara, direkod dan dikembangkan kegunaannya. SSR bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek pertanian, malah turut menekankan nilai budaya dan spiritual, khususnya berkaitan kepercayaan masyarakat Kadazandusun terhadap semangat padi atau Bambarayon yang melambangkan kehidupan dan kesejahteraan.

Terdapat 7 benih yang dipilih dalam program ini sebagai simbol kepada tujuh semangat (roh) yang dikenali sebagai 7 Sunduan Kokoduo disatukan dalam budaya masyarakat Kadazandusun. Konsep ini diambil daripada kepercayaan tradisional semasa perayaan Kaamatan yang berkait rapat dengan semangat padi atau Bambarayon, di mana setiap bahagian padi seperti rumpun, batang, tangkai, cabang, buah, buah yang dipatahkan dan buah yang hancur dipercayai mempunyai roh tersendiri. Selain itu, angka tujuh juga melambangkan tujuh unsur dalam diri manusia seperti roh minda (posorou), mata (pongito), telinga (porongou), hidung (poningud), lidah (ponuharing), kulit (pomurimon) dan kaki (papanau). Pemilihan tujuh benih ini datang daripada pelbagai daerah di Sabah, yang dikumpul oleh komuniti tempatan dari kampung dan hutan masing-masing sebagai usaha memelihara tanaman asli serta warisan budaya untuk generasi akan datang.

Melalui program ini, benih-benih yang dikumpul akan diserahkan kepada penjaga seterusnya seperti Jabatan Pertanian Sabah untuk dipelihara dan dimanfaatkan oleh generasi akan datang. Pada masa yang sama, maklumat berkaitan tumbuhan seperti habitat asal dan kegunaan tradisional turut direkod bagi memastikan pengetahuan ini tidak hilang ditelan zaman. SSR juga memainkan peranan penting dalam melindungi hak komuniti tempatan terhadap harta intelek serta menyokong usaha pemuliharaan biodiversiti. Secara keseluruhannya, program ini mencerminkan usaha menyeluruh dalam menjaga warisan alam dan budaya agar terus kekal untuk masa depan.

Kedua-dua program Kaamatan International Week dan Seeds Spirit Revival adalah inisiatif penting dalam memperkukuh warisan budaya, memupuk semangat perpaduan serta memperkenalkan nilai-nilai tradisi Kaamatan kepada masyarakat yang lebih luas, di samping menggalakkan keharmonian antara komuniti di peringkat tempatan dan antarabangsa. Untuk maklumat lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh menghubungi pihak jawatankuasa Kadazandusun Cultural Association (KDCA) melalui saluran rasmi yang disediakan.

Saluran rasmi: https://www.facebook.com/kdcahq

Share this post :

Facebook
X
LinkedIn
Pinterest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Latest News
Categories

Subscribe our newsletter

Purus ut praesent facilisi dictumst sollicitudin cubilia ridiculus.