Sambutan Pesta Bunga dan Buah-buahan Indigenous bagi tahun 2026 akan berlangsung dari 12 September hingga 20 September 2026 di Taman Pertanian Sabah, Tenom. Bermula tahun 2024, sambutan Pesta Bunga yang telah dilaksanakan saban tahun secara dwitahunan telah diperkukuhkan dengan menerapkan kepentingan Buah-buahan Indigenous dalam aktiviti konservasi oleh Taman Pertanian Sabah.
Program ini bukan sekadar pameran, tetapi satu perhimpunan penuh makna untuk kita sama-sama menghargai, memelihara dan membangunkan khazanah biodiversiti unik negeri Sabah yang menjadi warisan turun-temurun.
Taman Pertanian Sabah atau TPS, Tenom, telah mula dibuka kepada pengunjung bermula Oktober tahun 2000 dan majlis perasmian telah disempurnakan pada 25 Mac 2001 oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu.
Secara khususnya, objektif kewujudan TPS adalah untuk melaksanakan aktiviti konservasi tanaman indigenous yang terdapat di negeri Sabah, sebagai pusat pembelajaran ex situ dan memangkin industri agro-pelancongan untuk menyumbang dalam meningkatkan nilai KDNK negeri Sabah kepada RM100 Billion menjelang 2030.
Jabatan Pertanian Sabah giat melaksanakan program pemuliharaan, pembiakan dan promosi tanaman seperti Orkid, Durian Tenom, Tuhau, Tarap dan pelbagai spesies lain yang menjadi identiti tanah Borneo. Sehingga kini, terdapat sebanyak 1,925 koleksi janaplasma tumbuhan indigenous yang terdapat di negeri Sabah telah dipulihara di TPS. Komitmen berterusan Jabatan Pertanian Sabah ditonjolkan melalui TPS dalam usaha berterusan taman ini untuk menambah koleksi janaplasma tersebut.
Pesta Bunga Dan Buah-buahan Indigenous pada tahun ini dianjurkan selama sembilan (9) hari bermula dari 12 September hingga 20 September. Pengisian penganjuran pesta merangkumi pelbagai program dan acara dengan mengambilkira semua lapisan atau peringkat umur agar dapat menarik kedatangan pengunjung setempat, pelancong domestik dan pelancong luar negara. Selain itu, pesta ini menjadi platform kepada pengusaha dan peminat florikultur untuk berkumpul, berkongsi ilmu dan menyertai pelbagai acara yang disediakan.
Program Agrotour dan Agrotalk turut diadakan. Program ini menyediakan aktiviti berinformatif dengan penyusunan aktiviti seperti pembiakaan tumbuhan dengan tumpuan kepada tanaman hiasan, Orkid dan buah-buahan, penghasilan kompos, terrarium, Edible Garden, Exploring TPS, santai memancing, ternakan kelulut dan Perkongsian Program Konservasi.
Aktiviti harian berbentuk riadah juga disediakan seperti Pameran Fotografi, Pameran Buah-buahan Indigenous, Tamu Ria, Tree Climbing dan Abselling. Pelbagai hadiah menarik disediakan bagi acara pertandingan Ratu Bunga Cilik, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak serta pertandingan Lensa Kreatif Flora, Lukisan Mural, Gubahan Bunga, E-Sport, Seni Bunga, Masakan Buah Indigenous, Seri Bunga Pasu, Sentuhan Simfoni Flora, Pertandingan Social Media Challenge dan Basikal Berhias.
Pesta ini bertujuan menghubungkan serta memperkenalkan masyarakat setempat, penyelidik dan pelancong kepada kekayaan spesies bunga dan buah indigenous Sabah, memperkukuh pemuliharaan di ladang dan di luar tapak semula jadi, meneroka potensi pasaran dan nilai tambah produk tempatan dan mengiktiraf sumbangan pengetahuan tradisi masyarakat setempat.
Jabatan Pertanian Sabah menyediakan platform atas talian myTPS yang bertujuan untuk memudahkan pembelian tiket dan tempahan kemudahan di TPS. Aplikasi ini boleh diakses sepanjang masa dan pembayaran atas talian boleh dilakukan melalui Sabah Pay.
Penganjuran Pesta Bunga dan Buah-buahan Indigenous ini adalah bertepatan dengan objektif dan fungsi pengujudan TPS sebagai pusat konservasi tanaman secara ex-situ, dan living classroom bagi aktiviti pembelajaran yang menjadikannya salah satu pusat tarikan pelancong di negeri Sabah.



