Gambar bersama YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor (tengah), Ketua Menteri Sabah, sempena Persidangan Agung dan Konvensyen Persatuan Guru Besar Malaysia Negeri Sabah yang berlangsung pada 30 Ogos 2024 di ITCC Kota Kinabalu. Turut kelihatan dalam gambar ialah YB Datuk Dr. Haji Mohd. Arifin bin Datuk Haji Mohd. Arif, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (duduk, dua dari kiri), YBhg Datuk Haji Raisin bin Saidin, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah (duduk, tiga dari kiri), dan Yang Berusaha Tuan Nordin Mohd. Taip, Pengerusi PGBM Sabah (duduk, tiga dari kanan).
Sabah bakal menjadi tuan rumah bagi acara pendidikan berprestij, Konvensyen Pendidikan Ke-29 dan Persidangan Agung Perwakilan Kali Ke-3 Persatuan Guru Besar Malaysia (PGBM) 2025, yang akan berlangsung dari 16 hingga 18 Julai 2025 di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu yang akan dianjurkan oleh Persatuan Guru Besar Malaysia Negeri Sabah.
Acara ini dijangka akan menghimpunkan lebih daripada 3,000 peserta dari seluruh Malaysia, termasuk Guru Besar, yang berperanan penting dalam memperkasa sistem pendidikan negara. Konvensyen ini bertujuan untuk mengangkat peranan dan kepimpinan Guru Besar dalam membentuk masa depan pendidikan negara serta berkongsi strategi dan amalan terbaik dalam kepimpinan pendidikan.
Majlis perasmian konvensyen ini dijangkakan akan disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia dan YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah sebagai tetamu kehormat. Ketika acara berlangsung, para peserta berpeluang menyertai pelbagai sesi forum, bengkel, dan ceramah yang menampilkan pakar-pakar dalam bidang pendidikan, ksaepimpinan, dan pembangunan profesional.
Konvensyen ini dianjurkan dengan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kerajaan Negeri Sabah. Selain itu, acara ini turut mendapat kerjasama daripada Malaysia Aviation Group yang menjemput para peserta untuk menikmati diskaun istimewa sehingga 10% bagi tempahan tiket penerbangan Malaysia Airlines dan sehingga 15% bagi tempoh tempahan tiket penerbangan Firefly dari 15 Mac 2025 hingga 25 Julai 2025. Selain itu juga acara ini turut bekerjasama dengan Malaysia Hotel Association Sabah Chapter untuk tujuan penginapan. Peserta juga akan berpeluang untuk meneroka keindahan Sabah melalui pakej pelancongan eksklusif yang ditawarkan sepanjang konvensyen ini yang disediakan oleh SabahTravel.com.
Menurut Nordin Mohd Taip, Pengerusi Persatuan Guru Besar Malaysia Sabah, “Kami mengalu-alukan kesemua ahli persatuan dari seluruh negara untuk bertandang ke Sabah sempena acara ini. Selain menghadiri konvensyen yang sarat dengan ilmu dan perbincangan bermanfaat, ini juga merupakan peluang terbaik untuk membawa keluarga bercuti dan menikmati keindahan Sabah. Jadikan pengalaman ini sebagai ‘Konvensyen and Vacation’, di mana peserta bukan sahaja mendapat manfaat daripada sesi pembelajaran, tetapi juga berpeluang menikmati pelancongan di Sabah yang kaya dengan budaya, alam semula jadi, dan keunikan tersendiri.”
Pendaftaran untuk konvensyen ini akan dibuka bermula 10 Mac 2025 melalui pautan Sabah Travel di https://www.sabahtravel.com/sabah-travel-pgbm. Semua pihak yang berminat disarankan untuk mendaftar lebih awal bagi memastikan penyertaan mereka dalam acara penting ini.



