SETELAH 12 tahun penyanyi berkredibiliti dari Sabah Rozza Rothman kembali mewarnai arena muzik tempatan menerusi single terbarunya, Sigigisom Amu Rumiyou (Selamanya Takkan Layu).
Juara Bintang Kaamatan (kini Sugandoi) Negeri 1995 ini berkata, dia sangat teruja dan bersyukur kerana akhirnya dapat berkongsi sesuatu yang baharu dengan pendengar serta meluahkan perasaan dan pengalaman melalui muzik selepas sekian lama.
“Setiap langkah dalam perjalanan ini membawa cabaran dan pembelajaran, dan saya amat teruja untuk melihat bagaimana lagu ini diterima. “Dalam masa sama, ia memberi semangat baharu kepada saya untuk terus berkarya dan memberikan yang terbaik,” katanya kepada Hiburan Ekspres.
Rozza berkata dia menunggu lama untuk kembali kerana ingin memberikan fokus sepenuhnya kepada pengajian serta perkembangan kerjaya hakiki.
“Selain itu saya juga sibuk dengan tanggungjawab sebagai ibu kepada anak yang masih kecil. “Semua faktor ini memerlukan perhatian dan komitmen yang tinggi sehingga saya terpaksa menangguhkan hasrat untuk kembali ke arena muzik.
“Namun sekarang saya sudah bersedia untuk kembali berkarya dan berkongsi muzik baharu dengan pendengar,” katanya.
Tambah Rozza dia memilih Sigigisom Amu Rumiyou kerana percaya dengan bakat komposer lagu terbabit Rexynoell James Gerard.
“Bagi saya lagu ini merupakan karya terbaik Rexynoell seorang komposer muda yang berbakat dan berpotensi besar untuk meningkat naik pada masa hadapan.
“Lagu ini menyampaikan mesej yang mendalam tentang keteguhan cinta yang tidak pernah pudar, walaupun diuji oleh masa dan cabaran hidup.
“Liriknya yang penuh emosi serta melodi yang menyentuh hati menjadikannya pilihan sempurna untuk merakamkan sebuah karya yang menggambarkan kesetiaan dan kasih sayang antara pasangan.
“Saya percaya lagu ini berpotensi memberi inspirasi dan harapan kepada pendengar, mengingatkan mereka tentang kekuatan cinta yang mampu mengatasi segala cabaran hidup,” katanya.
Akui penyanyi yang mula dikenali sejak era lewat 1990-an itu lagi merakamkan Sigigisom Amu Rumiyou juga datang dengan cabaran besar.
Rozza berkata menyanyikan lagu berkenaan menguji vokalnya terutamanya dalam menyampaikan emosi dan mengawal melodi yang dinamik.
“Bahagian vokal tinggi memerlukan kekuatan dan kestabilan sementara perubahan nada pula memerlukan ketepatan.
“Untuk pengetahuan ‘vocal cord’ saya sedikit tercedera akibat tonsilitis sebelum hari rakaman. Namun dengan sedikit pengalaman dalam situasi seperti ini saya berjaya menyelesaikan rakaman dengan baik,” katanya.
Cabaran ini kata pemilik vokal ampuh ini, akhirnya membawa kepuasan apabila Sigigisom Amu Rumiyou menerima sambutan positif peminat.
“Saya menerima banyak maklum balas yang baik di mana ramai yang menyukai liriknya yang mendalam dan melodi yang menyentuh hati.
“Saya rasa sangat bersyukur dengan sambutan yang diterima. Semoga lagu ini terus memberi inspirasi dan diterima dengan baik oleh lebih ramai pendengar,” katanya.
Nampaknya kembalinya Rozza dalam arena muzik tidak terhenti setakat pada Sigigisom Amu Rumiyou.
Pelantun lagu Kerna Perubahanmu dan Cinta Harus Dicurahkan ini mendedahkan bahawa dia akan keluar dengan satu lagi single baharu selepas ini.
“Untuk single seterusnya saya akan bekerjasama dengan komposer Sabah yang cukup dikenali iaitu Benn Simon dan lagu ini akan dikeluarkan pada tahun ini.
“Saya sangat teruja untuk berkongsi lagu tersebut dengan pendengar tidak lama lagi,” katanya.
Sementara itu berkongsi mengenai sambutan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi Rozza berkata tahun ini mereka sekeluarga akan pulang beraya bersama keluarga sebelah suami di Keningau.
“Sambutan raya tahun ini begitu istimewa kerana kami dapat berkumpul bersama keluarga sebelah suami di Keningau.
“Yang paling menggembirakan anak saya yang bertugas sebagai jururawat di sebuah hospital swasta pun dapat cuti dan turut balik kampung bersama-sama,” katanya.
Mengenai persiapan raya pula Rozza berkata semuanya dilakukan secara sederhana kerana baginya yang penting adalah memori yang dikongsi bersama keluarga di Hari Raya.
“Baju raya baru pun cuma beli sepasang yang lain pakai baju lama saja. Kuih raya pun ‘main tunjuk’ saja.
“Perbelanjaan ala kadar yang penting raya tetap meriah dan dapat berkumpul dengan keluarga,” katanya.
Dalam pada itu Rozza berkata selepas cuti raya dia akan kembali sibuk dengan penganjuran Sugandoi Kaamatan Daerah Tuaran selaku Timbalan Pengerusi dan Pengarah Program.
“Namun ini tidak memberi kesan langsung kepada sambutan Hari Raya tahun ini kerana persiapan untuk penganjuran tersebut sudah saya selesaikan lebih awal.
“Jadi saya masih dapat menikmati raya dengan tenang bersama keluarga sebelum kesibukan melanda dengan aktiviti selepasnya,” katanya.
Sigigisom Amu Rumiyou ciptaan Rexynoell dan Gerard James Lintanga selaku penulis lirik, mula menemui pendengar 15 Mac lalu dan muzik videonya boleh disaksikan di akaun YouTube GOGDS Entertainment.



